DALAM bulan Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan
antara hari yang paling afdal di sisi Allah SWT, selain daripada Jumaat iaitu
pada 9 Zulhijah yang lebih dikenali sebagai hari Arafah. Hari Arafah adalah
bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi
umat Islam yang menunaikan ibadat haji.
Pada
hari itu, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan
memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya
ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan
menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.
Kelebihan
Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci,
malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan
ibadat haji. Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari
pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi
bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda
Rasulullah SAW:-
“Berpuasa
pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang
sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).
Selain
berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat
sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan
mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada
hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Begitu
juga amalan yang paling afdal di sisi Allah SWT seperti berjihad pada jalan
Allah SWT tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu
melainkan apabila seseorang Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya
mati dalam medan peperangan. Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda :-
“Tiada
suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada
sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, “Adakah itu termasuk
juga berjihad pada jalan Allah?”. Jawab Baginda, “Tidak termasuk berjihad pada
jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak
membawa pulang apa-apa pun”. (Hadis Bukhari)
Dalam
hadis lain, Rasulullah s.a.w. juga bersabda :-
“Tiada
suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan
melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu
memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. (Hadis Ahmad).
Pada hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia
akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf
adalah satu perhimpunan besar manusia
padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka
semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu
melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab
segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.
Oleh
itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa
sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang
Mahsyar itu.
Dari
sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu
berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang
diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di
lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang
me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim
dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.
Sebahagian
ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim
yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam mimpinya untuk
menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah
juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud ‘hari renungan’.
Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya
berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus
melaksanakan mimpi berkenaan.
Selanjutnya,
perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan
kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu
teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak
di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang
telah dirintis oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat serta generasi
selepasnya.
Tambahan
pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian ihram yang
sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan
segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan,
kekeluargaan dan sebagainya.
Semuanya
ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya
adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada hakikatnya berasal
daripada tanah.
Begitulah
antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya
direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang
beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada
sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya dan
kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah
SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari
kemudian.
~Ayuhlah
sama2 kita mencari keberkatan dalam bulan Zulhijjah ini agar kita menjadi hamba
Allah yang taat dan bertakwa kepada Allah..InsyaAllah ganjaran Allah kepada
hamba2 yang ikhlas pasti akan tersedia di akhirat sana..Marilah kita mulakan
dengan niat yang ikhlas kerana Lillahi Taala..
~ DAKWAH ITU INDAH..~
No comments:
Post a Comment