Monday, December 12, 2011

HATI BEJANA IMAN....~



hati??????? kadang2 b'bolak balik, kadng2 gelisah, ada juga tenang sgt2..bila kita mrasainya? alhmdulillah hati yg tnang bila hatinya sering m'gingti Allah...hati yg glisah bila dri sring gundah dan hati b'bolak balik itulah hati kbnyakkan kita..betul tak? 

Rasulullah SAW bersabda:- “ Dalam tubuh manusia ada segumpal darah, jika baik gumpalan darah itu, maka baiklah seluruh tubuhnya. Jika buruk gumpalan darah itu, maka buruklah kesemuanya. Ketahuilah bahawa gumpalan darah itu ialah hati”.

            Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan hati? Apakah pula yang ada pada hati? Hati atau dalam bahasa Arab disebut kibdah. Mungkin ada yang di antara kita akan berkata hati adalah untuk menapis darah kotor. Mungkin para doktor pula akan mengatakan hati merupakan organ homeostasis yang memainkan peranan penting dalam proses metabolism di dalam tubuh kita. Sebenarnya, buat pengetahuan adik-adik, Rasulullah SAW sendiri banyak bersabda tentang hati tetapi bukan hati yang menyimpan glikogen  tapi hati yang dimaksudkan oleh baginda ialah hati yang boleh menjadi bejana iman kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:-

Manusia itu dua matanya ibarat petunjuk, dua telinganya ibarat pemberi isyarat awas,   lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya ialah perutusan, hatinya pula sebagai raja. Kalaulah rajanya baik, maka baiklah bala tenteranya”.

Hati yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah lebih penting daripada hati yang menyimpan glikogen. Sebab itulah, kita tidak menggunakan kibdah untuk hati yang menjadi bejana iman namun kita menggunakan istilah qalb yang membawa maksud berbolak-balik. 

            Qalb ini seperti sabda Rasulullah SAW amat penting kepada manusia. Ini kerana hati merupakan raja kepada seluruh tubuh. Seandainya kita tidak menjaganya dengan baik, hati boleh rosak dan mati. Apabila hati telah rosak atau mati, maka keimanan kita kepada Allah SWT akan terganggu selain pancaindera  kita yang lain tidak dapat berinteraksi dengan keimanan secara benar.

Qalb ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap:-
Ø  Qalb yang hidup
Ø  Qalb yang sakit
Ø  Qalb yang mati 

~Hati yang hidup? Apakah dinamakan hati yang hidup? Hati yang hidup antaranya ialah ia masih boleh bergetar dan teralun dengan zikrullah, bacaan Al-Quran dan pelbagai lagi jenis ibadah. Hati itu masih mengingati Allah setiap detik tatkala disebut nama Allah. Selain itu, hati itu akan menjadi tenang apabila ada orang memberi teguran , atau ia akan terasa apabila diberi nasihat. Hati yang hidup juga tidak akan kehilangan sifat pekanya, maka dia akan bergetar untuk segala kebaikan. Firman Allah SWT, mafhumnya:-

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakal”( Al-Anfal:- 2)
                                                                                                                                  

~Hati yang sakit pula ialah hati yang penuh dengan penyakit samada penyakit yang boleh menyembuhkan atau tidak. Penyakit hati yang kebiasaanya wujud pada diri kita ialah penyakit bersangka-sangka, marah, hasad dengki dan lain-lain lagi. Dr Majdi Al-Hilali menyatakan hati merupakan medan pertempuran antara nafsu dan keimanan. Jika hati kita mati , maka mudahlah nafsu akan memenangi pertempuran itu tanpa perlu bersusah payah. Jatuhlah manusia ke gaung yang dalam menghadapi kesukaran yang berganda-ganda dahsyatnya untuk berpatah balik. Dan belum tentu lagi manusia itu mampu berpatah balik kerana hatinya telah mati, walaupun Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mari kita renungkan, bagaimanakah hati yang tumpul, yang hilang kepekaannya dan sensitivitinya hendak kembali kepada Allah? Bagaimana seseorang itu hendak merasa ulikan kasih saying Allah SWT sedangkan hatinya tidak boleh berdenyut merasa?

                             check hati..kemudian bg ubat, jga baik biar cept smbuh...

~Hati itu boleh sakit, tetapi setiap penyakit ada rawatan dan ubatnya, kecuali penyakit tua dan mati. Namun hati adalah istimewa, ia tidak akan tua, adapun jika hati itu mati sekalipun, ia masih boleh dihidupkan kembali. Kibdah mungkin tidak boleh, tapi qalb semestinya boleh. Selagi mana jiwa itu mahu kembali kepada Allah, ubat-ubat dan rawatan-rawatan akan sentiasa ada menunggunya.

Rasulullah SAW bersabda :- “ Sesungguhnya hati itu boleh berkarat seperti mana berkaratnya besi.” Maka sahabat-sahabat bertanya, apakah yang boleh memmbersihkannya, Rasulullah SAW menjawab, “Membaca Al-Quran dan mengingati mati”. 

Rasulullah SAW juga ada bersabda mafhumnya:- “ Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadamkan keburukan itu dengan keburukan juga, tetapi keburukan itu dipadamkan dengan kebaikan, sesungguhnya yang kotor itu tidak akan menyucikan yang kotor”.

Oleh itu, penyelesaian yang terbaik ialah melakukan kebaikan untuk memadamkan kerosakan hati dalam diri kita. Taubat sudah pasti jalan daripada jalan-jalannya. Istiqamah pula akan menjadi tongkatnya. Kita perlu kuat untuk membersihkan hati kerana ia merupakan tempat iamn bertandang. Manakala, iman pula hanya boleh mengalir ke seluruh pancaindera apabila diselubungi iman. Jika hati rosak, iman akan tersekat dan seluruh tubuh akan menjadi bejat dengan dosa dan maksiat. 

Oleh itu, kita perlu bersihkan dengan melakukan amal-amal yang bersesuaian pada peringkat permulaan. Jangan telalu mendesak untuk melakukan amal-amal yang berat tetapi tidak istiqamah tetapi lakukanlah amal yang ringan berserta istiqamah dalam menjalaninya. Insya-Allah hati akan senang melakukan ‘hijrah’ yang kita lakukan. Antaranya, memberi salam, senyum, sedekah seminggu sekali, mengutip sampah yang kita Nampak, membaca Al-Quran ( paling malas pun biarlah sehari satu muka surat ), berzikir, berdoa ( doalah untuk keluarga, sahabat-sahabat dan diri kita juga ), istighfar dan paling penting jaga solat lima waktu ( kadang-kadang perlu juga berjemaah ). Seandainya kita istiqamah dan istimrar dalam melakukannya, Insya-Allah hati akan terpelihara, dan kehitaman hati akan tercuci.

Sesungguhnya kemanisan hidup seorang hamba adalah apabila dia mendapat keredhaan Tuhannya. Jadi kita harus berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah. Yakinlah, sekiranya kita menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampiri kita seribu langkah , dan sekiranya anda berjalan mendekatiNya, maka Dia akan berlari dengan pantas mendekati kita. Rawatlah hati kita, andai merasakan ada titik titik hitam kerana titik itulah yang menjadi pemisah antara kita dan Allah. Suburilah hati dengan iman. 

                                     





No comments:

Post a Comment